Sejarah awal Bandar_Penawar

Bandar Penawar merupakan sebuah kawasan bandar baru yang terletak di bahagian selatan negeri Johor, iaitu berkedudukan di tengah-tengah Wilayah Kecil Pengerang.Nama Bandar Penawar diambil bersempena dengan nama sebuah tanjung iaitu Tanjung Penawar , 2 km dari kawasan Bandar Penawar. Keseluruhan kawasan ini merupakan kawasan pertanian - kelapa sawit.

Kawasan Bandar Penawar mula diteroka pada tahun 1972, oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara atau singkatannya KEJORA yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 75/1972 dan Enakmen Lembaga Kemajuan Johor Tenggara 1972. Dengan keluasan 1,314.333 hektar, kawasan bandar baru Bandar Penawar ini merupakan sebahagian daripada 300,364 hektar iaitu 16% daripada keluasan Negeri Johor yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk dibangunkan di bawah KEJORA.

Sewaktu diambil alih oleh KEJORA, sebahagian besar dari kawasan ini masih diliputi oleh hutan. Namun begitu, sudah terdapat juga beberapa buah petempatan FELDA berhampiran yang telah dibina lebih awal iaitu pada akhir tahun 1960-an, seperti Felda Sungai Mas, Felda Papan Timur, Felda Semencu, Felda Gugusan Lok Heng,Felda Gugusan Waha dan Felda Gugusan Air Tawar, serta beberapa perkampungan tradisional dan pekan kecil di sepanjang pantai dan Sungai Johor.